Jumaat, 30 April 2010

Hanya tinggal kenangan..


Detik-detik diriku meninggalkan bumi Kolej Ibrahim Yaakub atau KIY kian terasa. Hanya tinggal tidak sampai 72 jam lagi secara rasmi, aku bukanlah penghuni KIY lagi. Tidak sedar dibuai masa yang berlalu begitu pantas beredar meninggalkan sesiapa sahaja. Bibit-bibit kenangan mula bermain-main di fikiranku. Pagi jumaat yang begitu indah ini sekitar jam 4.46 pagi terlihat di jam laptopku. Di mana masa ini, kebanyakan 98% manusia di bumi KIY enak di buai mimpi-mimpi malam.

Fikiranku melayang-layang, mengenang kenangan dan peristiwa-peristiwa di bumi KIY sepanjang tiga tahun genap berada di bumi Universiti Kebangsaan Malaysia. Dengan alunan bacaan Surah Al-Jumuah dilaptopku menambahkan lagi hiba di hati ini. Selepas ini, ramai sahabat-sahabat baikku mula meninggalkan KIY. Apan, Syed, Zali, Faiz, Insan, Jedai, Wan,Zulkhairi, Maliki dan kawan-kawan akan menamatkan sesi pengajian di bumi UKM. Bakal menggemgam segulung ijazah idaman semua ibu bapa yang menghantar anak di bumi UKM.

Tiga tahun sudah berlalu, teringat diriku tentang saat-saat hari pertama sampai di bumi KIY, dengan kawan-kawan baru. Room matte ku yang pertama Hazmin, Wadi (yang kini sudah nikah dengan pilihan hatinya) , Dayat (yang sudah terlebih dahulu meninggalkan KIY kerana menyambung pengajian di Indonesia).

Tempat yang selalu diriku singgah dan berjumpa dengan kawan baru adalah di Surau An-Nur, KIY. Banyak meninggalkan kenangan. Di surau itu juga aku di asuh dan di didik menjadi pemimpin, sehinggakan menjadi Pengerusi Biro Kerohanian, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) KIY. Sungguh di luar jangkaan ku sekali.

Di sini juga berjumpa dengan kawan-kawan yang banyak memberikanku dorongan dan semangat, di sini juga aku mengenal siapa kawan dan siapa lawan. Kawan yang muncul di waktu senang dan kawan di waktu susah.

Ohh Berakhir Sudah
Semua Tinggal Menjadi Kenangan
ku Ingat Salam Yang Kau Berikan
Selamat Tinggal Sayang.

Selamat tinggal KIY, Zaaba menantikan kehadiranku. Semoga akan ku mulakan hidup baru di sana dengan kawan-kawan dan suasana baru. Selamat tinggal sahabat-sahabatku, akan ku simpan semua kenangan bersamamu.

Selamat tinggal Surau An-Nur, KIY. Kini diriku bukan penghuni KIY. Namun selagi diriku mampu berbakti kepada mu akan ku berikan sedaya upaya ku. Wahai jemaah surau KIY baik yang muslimin dan muslimat. Aku menyanyangi kalian dan terima kasih kerana bersama-samaku membina kenangan bersama-sama diriku. Kini kuserahkan amanah menjaga Surau An-Nur kepada Izzudin, pengganti diriku merangkap adik-adikku di bumi KIY. Bimbinglah Khalid, JAKSA Kerohanian baru dengan sedaya upayamu. Moga Allah SWT membalas jasa kalian.

KIY,
Kenangan bersamamu satu anugerah,
Anugerah kepada diriku yang menagih
kasih-sayang bersama-sama penghuninya,

KIY,
Diriku meninggalkanmu bukan kehendak diriku,
Tapi kerana angkara manusia yang gila kuasa,
Oleh manusia yang bergelar Islam,
Tetapi pada masa yang sama menolak
Islam terus di bumi KIY dengan baik,
Mungkin Allah SWT ada pengganti
yang lebih baik daripada diriku,
Moga Allah membalas orang yang menzalimi
insan yang menghidupkan syiar Islam di bumi KIY,
Supaya menjadi ingatan kepada manusia yang mahu berfikir.

KIY,
Selamat tinggal sayang,
Selamat tinggal sahabat,
Aku pergi bersama kenangan,
Akan ku simpan sampai nyawaku
berpisah dari badan.

KIY,
Semoga kita berjumpa lagi..



pak aRaB
Abdul Rahman Al-Baweani, 5.10 pagi
30 April 2010 (Jumaat)

Jumaat, 16 April 2010

Sebuah coretan di pagi Jumaat


Setelah habis mengupdatekan post terbaru, hati ini terasa sungguh gembira dan sedih sedikit kerana banyak sahabat-sahabatku memberi kata-kata semangat kepadaku. Tidak ku sangka nukilanku yang tidak seberapa mampu juga membuatkan orang lain menyayangi ibu bapa mereka dan membuat mereka menitikkan air mata pengajaran daripada kisah-kisahku.

Tanpa ku sedar yang Jumaat datang menghampiriku, dan pada malam jumaat yang menjadi penghulu segala hari ini dan yang juga merupakan para-para roh orang-orang kubur iaitu termasuk arwah Ibunda Urfiah ku yang tercinta keluar mencari bekalan untuk dibawa ke alam barzah kembali. Masa itu juga digambarkan ada yang sedih tiada mendapat bekalan doa daripada anak-anak yang soleh kepadanya, namun ade juga bergembira kerana masih mendapat bekalan doa anak-anak mereka yang soleh. Mudah-mudahan arwah ibu ku merupakan orang yang gembira pada hari ini. Jika tidak, akulah orang yang begitu sedih sekali kerana diriku sebagai anak lelaki tidak dapat menunaikan tanggungjawabku sebagai anak kepada ibunya yang telah meninggal dunia. Yang mana ibu ini telah banyak mengalirkan air mata sepanjang membesarkan diriku tanpa di minta membalas dengan wang ringgit. Namun hanya mengharap anaknya menjadi anak yang soleh. Tetapi adakah diriku ini tergolong dalam golongan anak-anak beliau yang soleh.. Satu persoalan bagi diriku untuk ku nilai diriku sendiri..

Pada malam jumaat ini juga, tanganku ini menggatal menaip www.youtube.com , bukan mencari video bukan-bukan. Tetapi teringat kat Ustaz Akhil Hayy punya ceramah. Tetiba ade satu ceramah beliau bertajuk "Suami Hensem" yang sebelum memulakan ceramah beliau, beliau telah mengalunkan zikrullah selama tujuh minit, sehingga diriku terkedu dan alunan zikrullah itu membuatkan hawa telinga dan tanganku meminta alunan itu di ulang-ulang banyak kali sehinggalah sekarang ini. Setelah 4 jam aku dengar zikrullah aku semakin mahu mendengar.

Untuk menyatakan kepada kalian yang berzikir mengingati Allah SWT ini diharuskan kepada seluruh alam termasuklah manusia. Manusia lupa yang berzikir mengingati Allah SWT ini merupakan makanan rohani. Mana tidaknya roh kita kan tak nampak manalah tau yang dia ni lapar ke tidak. Tapi kalu perut lapar cepat-cepat je cari makan untuk dimakan. Tapi makanan untuk roh lupa pula di cari. Allah S.W.T berfirman:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah:" Diahalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik-baik dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-bintang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara-cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajar oleh Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah daripada mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri daripada makanan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat Hitungan hisab-Nya."

(Surah al-Mai'dah:4)

Banyak ayat-ayat Al-Quran memerintahkan kita mengingati Allah sentiasa, diantaranya ialah pada Surah Al- A'raf ayat ke 205 bermaksud;

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu di dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar peringatan-Nya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi daripada orang-orang lalai."

Allah S.W.T berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya."
(Surah Al-Ahzab: 41)

Ayat-ayat di atas jelas meminta manusia yang beriman supa mengingati Allah Taala senantiasa dan makan makanan yang baik-baik dan halal. Allah juga memerintahkan manusia tunduk dan merendah diri apabila mengingati-Nya.Jelas di sini Allah SWT ingin menzahirkan kedudukan Beliau dengan kita ini yang hanya seorang hamba yan hina di sisi-Nya. Astagfirullahal adzhim. Mari kita renungkan bersama. Adakah kita seperti orang-orang di atas??


pak aRaB, 2010
Abdul Rahman Al-Baweani
UKM, Bangi
4.49 pagi

Rujukan:
Buku Ayat-Ayat Suruhan, Jabatan Kemajuan Islam, 2006.




Rabu, 14 April 2010

Mak.. Aku mencintaimu sepenuh hatiku dan jiwa ragaku.

Ulangtahun kematian ibuku ketujuh sudahpun berlalu pada 04 April 2010 yang lepas. Namun tidak ku sangka, ibundaku yang tersayang yang bernama Allahyarhamah Urfiah telah pun pergi meninggalkanku.

Secara tiba-tiba kenangan lama mula berputar kembali. Kenapa ni Rahman? Kenapa semua kenangan ini berputar-putar kembali? Tidak lama selepas itu hatiku dan diriku menangis. Cairan hangat mula membanjiri mataku. Hatiku kembali menjadi sebak, nafasku menjadi tidak keruan. Apa yang berlaku ni? Rahman, kamu kan hero. Hero mana boleh menangis Rahman. Kamu kan kuat. Arghh.. Air mataku mengalir semakin deras. Secara tidak ku sangka, lidahku mengeluarkan ungkapan yang jarang sekali aku keluarkan "Mak, man mencintaimu sepenuh hati dan jiwa raga man."

Seketika kemudian, barulah hatiku mengerti yang diriku ini sangat merindui kasih sayang dan belaian seorang ibu. Sungguh cepat masa berlalu, sudah tujuh tahun dikau meninggalkan ku, mak. Terasa baru semalam dikau pergi. Terbayang-bayang sewaktu dirimu sedang nazak dan koma di Hospital Besar Kuala Lumpur pada hari Khamis. Ku terbayangkan sewaktu itu aku hampir tidak mengenali dirimu. Ku ingat kembali saat itu diriku menangis teresak-esak seakan-akan mengetahui dirimu akan pergi meninggalkan diriku buat buat selama-lamanya. Ya Allah, aku redha akan ujianmu ini.

Dahulu diriku tidak mengerti akan makna kehilangan dan kematian seorang ibu. Kini aku seakan-akan disambar akan petir yang sangat kuat, menggetarkan dan menyakitkan jiwaku dengan kehilangan ibuku. Jiwaku meronta-ronta menagih kasih seorang ibu. Walaupun aku sudah mempunyai ibu tiri yang bernama Mak Masis, namun ia tidak setanding dengan ibu bernama Urfiah ini. Yang mengandungkan,melahirkan dan menjagaku dengan penuh kasih sayang.

Ingatanku kembali sewaktu diriku mula-mula memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia. Diriku sangat gembira kerana akulah anak pertama dalam keluargaku yang masuk ke universiti. Ini menjadikan bapak ku sangat gembira dengan kemasukan aku ke UKM. Namun, setelah berada di UKM, aku terasa sebuah kekosongan yang sangat aku tidak fahami. Kenapa ya? Nak kata di isi dengan girlfriend , aku dah ada sebelum ini. Hmm.. Kenapa ye kawan-kawan.

Satu semester sudah pun berlalu, kekosongan hati ini masih lagi menghantui diri ini. Ingatkan rindukan keluarga. Tetapi akhirnya, aku teringatkan arwah Mak. Dengan tidak semena-mena aku menangis. Inilah rupanya kekosongan jiwaku. Aku berasa sedih dan hatiku merintih. Aku berjaya masuk universiti setelah ketiadaan ibuku. Ibu mana tidak gembira anak masuk universiti. Lebih-lebih lagi anak pertama yang melangkah masuk. Aku merupakan anak keenam dari sembilan orang adik beradik. Tetapi akulah memecah tradisi keluargaku dengan masuk ke universiti.

Aku menjadi semakin hiba, Mak tak dapat melihat aku ke menara gading. Jiwaku semakin sedih dan aku menangis bersendirian. Kemudian aku menceritakan kepada seorang kawan bernama Nurul. Nurul berkata balaslah jasa arwah ibumu dengan sedeqahkan Surah Al-Fatihah kepadanya. InsyaAllah, mak kau akan lebih gembira jika anak yang sedeqahkan Al-Fatihah kepada dia setiap hari. Thanx Nurul. Sejak hari itu sehingga sekarang aku sedaya upaya menunaikan tanggungjawabku sebagai anak menyedeqahakan doa dan Surah al-Fatihah kepada ibuku.

Mak, man nak hadiahkan sebuah puisi untuk dirimu. Harap puisi ini mampu menjadikan orang lain yang membacanya menyayangi ibunya.:

Mak,
Ketika dikau mengandungkanku,
Sembilan bulan sembilan hari,
Penuh dengan kekuatan engkau harungi demi
menanti kelahiranku,
walaupun kepenatan membawa ku
di dalam perutmu,
Namun dikau tidak mengeluh.

Mak
Sewaktu dikau ingin melahirkanku,
sewaktu itu juga dikau
berperang dengan kematian,
Walaupun kesakitan yang tidak terhingga
dikau rasai,
Namun semua itu hilang ketika
diriku lahir di dunia.

Mak
Ketika usiaku tidak mencapai umur setahun,
engkau di uji oleh Allah SWT,
dengan penyakit batu karang yang
ada pada diriku,
engkau menangis apabila melihat aku kesakitan,
itulah tanda kasih sayang dirimu
pada anakmu ini.

Mak
Ketika dikau membesarkanku,
Engkau memberikanku kasih sayangmu
kepada diriku tidak terhingga banyaknya,
walaupun diriku ini degil,
walaupun aku ini banyak menimbulkan karenah,
walaupun dikau letih membesarkanku,
walaupun dirimu berjaga siang dan malam
dalam menjaga ku,
Engkau anggap ini hanyalah kemanisan
dalam membesarkanku.

Mak
ketika ku meminta dirimu
masak telur dadar untukku,
ketikaku menangis kerana menghendaki sesuatu,
ketika diriku ketakutan untuk ke tandas
ku pinta dirimu menemani ku,
Dikau tidak pernah mengeluh dalam
membesarkanku.

Mak
Pada tarikh empat april
dua ribu tiga,
dikau pergi meninggalkan ku
tanpa kasih sayang seorang ibu.

Mak
Man sayangkan mak,
sepenuh hati dan jiwa man,

Mak
Man akan belajar bersungguh-sungguh,
supaya tiada siapa berani
menghina keluarga kita.

Mak
Aku merinduimu,
Tuhan berilah kedudukan
yang mulia kepada Ibuku ini,
bersama dengan Rasulullah saw dan
golongan orang beriman di akhirat nanti,
Jadikanlah alam barzakh tempat beliau berehat,
Selepas kepenatan membesarkanku,
Ku merayu kepada Mu, Ya Allah.



*************** Abdul Rahman Ibni Usman*************
14 April 2010 (Rabu) 4.28 pagi
UKM, Bangi


Aku seorang hamba.

Sudah lama tidak menaip di blog ku ini. Terasa macam kekurangan sesuatu di dalam diriku. Peperiksaan sudah pun bermula. Tapi jika dilihat persediaanku. Sungguh sedih sekali. Assigment masih ade yang tidak siap lagi bagaimana ye. Memang pegangan hidupku, pandang ke hadapan Rahman. Jadikan kenangan semalam sebagai pengajaran.

Aku tidak tahu kenapa sejak kebelakangan ini aku selalu mengenangkan kematian. Di pagi yang indah ini tiba-tiba teringin nak buka blog kesayanganku ini. Apabila dibuka aku menjadi terkedu. Hit dalam blog aku ini mencecah 209671, sebelum ini nak cecah 2000 ke atas sangatlah susah. Pada masa yang sama, kawan-kawan yang add aku sebagai kawan mencecah 43 orang. Terima kasih kepada sesiapa yang sudi membaca blog diri ini yang serba kekurangan.

Sejak kebelakangan ini, diriku berasa kekosongan, ingin mencari-cari bahan bacaan yang lain. Sehinggalah daku berjumpa satu artikel di pautan sahabatku yang bertajuk ALHAMDULILLAH ANA SUDAH BERTUNANG..dengan siapa?????? , hampir menangis diriku mebacanya. (http://www.facebook.com/profile.php?id=100000273330674#!/profile.php?v=app_2347471856&id=100000273330674). Kepada yang berminat boleh mebacanya.

Selepas artikel itu aku baca, barulah aku sedar, bahawa aku adalah seorang hamba. Yang penghujungnya akan pergi menemui Ilahi. Baru aku sedar aku ini sudahpun di risik oleh malaikat maut. Kini aku sudah pun bertunang dengannya. Cuma nikahnya (kematian) sahaja belum ku tahu. Ya Allah, alangkah kerdilnya aku ini. Adakah aku sudah bersedia?

Masa pun berlalu pergi, hari berganti hari. Semakin hari semakin ku tertarik mencari artikel tentang kematian, sehinggalah aku berjumpa dengan satu tajuk buku yang bertajuk Malam Pertama Di Alam Kubur , nampak menakutkan. Namun ku yakinkan diriku, ku belek-belek helai per helai. Aduh... Rintihan hati kecilku, alangkah ruginya aku. Adakah malam pertamaku nanti penuh nikmat atau penyiksaan? Tidak ku sangka pipiku berasa bahang dek kerana air mata bercucuran. Apakah makna semua ini? Kenapa aku menangis?






Daisypath Anniversary tickers